Abad peluasan empayar (1815–1914) Empayar British

Antara tahun 1815 dan 1914, tempoh yang dirujuk sebagai abad perluasan empayar Britain oleh sesetengah ahli sejarah[31][32] apabila Empayar Britain menambah lebih kurang 10 juta batu persegi wilayah dan 400 juta penduduk.[33] Kemenangan ke atas Napoleon menjadikan Britain kuasa yang tidak mempunyai saingan serius selain daripada Rusia di Asia tengah[34] dan dengan kuasa lautnya yang tidak dicabar, Britain memainkan peranan sebagai polis dunia, yang kemudiannya dikenali sebagai “Pax Britannica".[35] Dengan kawalan rasmi ke atas tanah jajahannya, kedudukan dominan Britain di perdagangan dunia bermakna ia juga mempengaruhi ekonomi negara bebas seperti Amerika Latin, China dan Thailand yang dikategorikan sebagai “empayar tidak rasmi” oleh sesetengah ahli sejarah.[36]

Karikatur politik tahun 1876 yang menggambarkan Benjamin Disraeli (1804–1881) memegang mahkota untuk menjadikan Ratu Victoria sebagai Maharani India. Kapsyen ditulis "Mahkota baru untuk yang lama!" (New crowns for old ones!).

Asia

Sebelum pembubarannya pada tahun 1858, Syarikat India Timur merupakan kunci peluasan Empayar British di Asia. Tentera syarikat pada mulanya bekerjasama dengan Tentera Laut Mahkota semasa Perang Tujuh Tahun dan kedua-duanya terus bekerjasama di medan di luar India: pengusiran Napoleon dari Mesir (1799), penawanan Pulau Jawa daripada Belanda (1811), pengambilan Singapura (1819) dan Melaka (1824) dan dalam mengalahkan Burma (1826).[34]

Dari pusatnya di India, syarikat melibatkan diri dalam perdagangan opium yang dieksport ke China semenjak tahun 1730an. Perdagangan haram ini tidak dibenarkan oleh Dinasti Qing pada tahun 1729, tetapi menolong mengubah ketidakseimbangan imbangan perdagangan yang disebabkan oleh import teh oleh British yang juga melihat pengaliran keluar banyak perak dari Britain ke China. Pada tahun 1839, rampasan 20,000 peti berisi opium oleh pihak berkuasa China di Canton membawa kepada serangan British ke atas China dalam Perang Opium Pertama dan rampasan pulau Hong Kong (yang sebelumnya hanya kota kara kecil) sebagai pangkalan. Sementara itu, Perang Inggeris-Afghan Pertama merupakan satu konflik besar pertama dalam tempoh persaingan antara Britain dan Rusia untuk kuasa di Asia Tengah.

India

Rencana utama: Kemaharajaan British

Penamatan syarikat dipercepatkan oleh pemberontakan oleh supai (askar India) yang menentang komander British mengenai pengenalan kartrij rifel yang dilumuri dengan lemak binatang. Penggunaan kartrij ini yang memerlukan ia digigit untuk dibuka dan digunakan, melanggar kepercayaan agama Hindu dan orang Islam (jika lemak tersebut daripada lembu atau babi). Pemberontakan tahun 1857 bukan sahaja disebabkan penggunaan peluru tetapi juga mengenai budaya dan agama masyarakat India yang dicabar oleh British. Pemberontakan ini berjaya dikawal oleh pihak British setelah banyak nyawa terkorban. Pemberontakan tentera ini merupakan contoh awal penggunaan teknologi komunikasi dalam menghalang merebaknya pemberontakan.[37] Hasil daripada perang ini, British mengawal secara langsung India yang membawa kepada zaman Kemaharajaan British (“British Raj”). Syarikat India Timur dibubarkan pada tahun berikutnya (1858). Zaman ini juga dikatakan berlaku kebuluran yang teruk yang dikaitkan dengan dasar kerajaan termasuk Kebuluran Besar 1876-78 yang melihat kematian antara 6.1 juta sehingga 10.3 juta orang.[38] dan kebuluran di India 1899–1900 yang meragut 1.25 juta ke 10 juta nyawa.[38]

Cape Colony

Syarikat India Timur Belanda menjumpai Cape Colony di selatan benua Afrika pada tahun 1652 sebagai tempat persinggahan kapal yang belayar dari dan ke koloni-koloni di Hindia Timur. Britain secara rasmi mengambil koloni ini termasuk penduduk Afrikaner (atau Boer) pada tahun 1806 selepas menawannya pada tahun 1795 apabila Belanda diserang Perancis. Imigran British bertambah selepas tahun 1820 dan menyebabkan beribu-ribu Boer berpindah ke utara dan menubuhkan republik bebas yang tidak kekal lama pada akhir tahun 1830an dan awal 1840an. Akhirnya orang Boer menubuhkan dua republik yang agak lama jangka hayatnya iaitu Republik Afrika Selatan atau Republik Transvaal (1852-1877; 1881-1902) dan Negeri Bebas Oren (1854-1902).

Terusan Suez

Pada tahun 1875, Parti Konservatif di bawah Benjamin Disraeli membeli 44% pegangan pemerintah mesir Ismail Pasha dalam Terusan Suez berjumlah £4 juta untuk mengawal terusan strategik itu. Terusan Suez merupakan laluan perkapalan di antara United Kingdom dan India semenjak ia dibuka enam tahun sebelumnya oleh Mahajara Napoleon III. Perkongsian kawalan kewangan Inggeris-Perancis ke atas Mesir membawa kepada pendudukan British pada tahun 1882.

Perebutan Afrika

Rencana utama: Perebutan Afrika
Raksasa Rhodes- Cecil Rhodes melangkau "dari Kaherah ke Cape".

Ketika aktiviti Perancis, Belgium dan Portugal di bahagian bawah Sungai Kongo mengancam kedudukan British di Afrika, Persidangan Berlin pada tahun 1884 dan 1885 mencari jalan untuk mengawal persaingan di antara kuasa Eropah yang dikenali sebagai “Perebutan Afrika”. Perebutan ini berterusan sehingga tahun 1890an dan menyebabkan Britain menilai semula keputusannya berundur dari Sudan pada tahun 1885. Satu pasukan bersama tentera British dan Mesir berjaya mengalahkan Tentera Mahdi pada tahun 1896 dan menghalang cubaan Perancis untuk menjajah Fashoda pada tahun 1898. Sudan dijadikan satu jajahan bersama British dan Mesir tetapi realitinya ia sebuah jajahan British.[39]

Kemenangan British di selatan Afrika Timur mendorong Cecil Rhodes, perintis kepada peluasan British dari Afrika Selatan ke utara, mendesak laluan rel yang menghubungkan Cape ke Kaherah termasuk Terusan Suez dan bahagian selatan yang kaya dengan mineral.[40] Pada tahun 1888, Rhodes dan syarikat persendiriannya Syarikat Afrika Selatan British menawan dan mengilha wilayah yang kemudian dinamakan sempena namanya Rhodesia.

Status dominion untuk jajahan kulit putih

Jalan kemerdekaan untuk jajahan kulit putih Empayar British bermula dengan Laporan Durham pada tahun 1839 yang mecadangkan penyatuan kerajaan sendiri dua wilayah Kanada sebagai penyelesaian pertelingkahan politik di sana. Ini dicapai dengan kelulusan Akta Amerika Utara British pada tahun 1867 di mana Kanada dilabel ”dominion”. Australia dan New Zealand mencapai taraf pemerintahan sendiri pada tahun 1900 di mana New Zealand sebagai dominion dan Australia sebagai sebuah komanwel.[41] Istilah “status dominion” diperkenalkan secara rasmi semasa Persidangan Imperial pada tahun 1907 untuk merujuk Kanada, Newfoundland, Australia dan New Zealand. Pada tahun 1910, Cape Colony, Natal, Transvaal dan Negeri Bebas Oren bergabung untuk menubuhkan Kesatuan Afrika Selatan yang juga diberi status dominion.[41]